Thursday, April 01, 2010

Defy? No Way.. 12

continued..

Walau bagaimana tinggi sekali sanjungan Rasulullah s.a.w. kepada Saidina Umar malah beliau adalah antara sahabat-sahabat yang dijamin syurga oleh Rasulullah s.a.w. waktu hidupnya lagi, dia tetap takut dengan dirinya, bimbang kalau-kalau ada sifat-sifat munafik.

Kalaulah Saidina Umar yang begitu hebat pun takut akan berlakunya sifat-sifat munafik itu dalam dirinya, betapalah kita ini.

Kerana, sifat munafik itu amat mudah berlaku.

Cuba kita lihat satu contoh munafik yang boleh berlaku kepada kita.

Kita selalu mengucapkan dalam sembahyang yang maksudnya:
“Sesungguhnya, sembahyang aku, ibadah aku dan seluruh hidup dan mati ku iniadalah untuk engkau Tuhan Rabbul ‘alamin.”


Ini adalah janji dan ikrar kita kepada Allah s.w.t. dalam sembahyang.

Kemudian cuba kita suluh perbuatan lahir kita di luar sembahyang, apakah ia menepati janji kita dalam sembahyang.

Seandainya perbuatan kita di luar sembahyang tidak menepati janji itu serta tidak selaras dengannya, maka telah berlakulah sifat munafik dalam diri kita.

Sebab itu, sepatutnya, hendaklah kita lebih risau tentang diri kita daripada kita merisaukan tentang diri orang lain.

Sepatutnyalah kita lebih risau tentang kesalahan diri kita daripada kita risau tentang kesalahan diri orang lain.

Mana-mana yang boleh kita baiki kesalahan diri orang lain itu, kita cubalah baiki dengan penuh kasih sayang.

Tetapi, kalau tidak boleh, maka hendaklah kita doakan dia.

Sikap seperti inilah yang susah hendak kita lakukan.

Jadilah, kalau kita dapat menceritakan sikap orang-orang soleh zaman dahulu, lebih-lebih lagi sikap para-para sahabat, yang bukan sahaja soleh tetapi adalah bertaraf mukarrobin.

Sedikit kesalahan pun walau tidak jatuh kepada dosa, mereka sudah merasakan satu bebenan yang berat.

Hal ini pernah juga diriwayatkan pada Saidina Umar setelah beliau menjadi Khalifah.

Suatu hari, beliau pernah bertanya kepada seorang sahabatnya.

Katanya:
“Wahai sahabat, adakah kamu nampak apa-apa kesalahan pada diri aku?”

Sahabat-sahabat begitu jujur dan amat mengetahui hati Saidina Umar.

Ertinya, kalau mereka memperkatakan tentang kesalahannya, dia tidak akan marah.

Maka itu, sahabat tadi menjawab:
“Aku lihat, engkau makan dua jenis lauk.”

Rupa-rupanya, itu yang hendak disampaikan oleh sahabat tadi.

Kalau pada diri kita, makan dua jenis lauk itu tidak ada kena mengena dengan kesalahan yang hendak kita ketahui.

Tetapi bagi Saidina Umar, teguran sahabat tadi dirasakannya tersangat berat hinggakan selepas itu dia tidak lagi makan dua jenis lauk.

Kalau kita lihat dari segi hukum, makan dua jenis lauk tidaklah merupakan satu perbuatan dosa, tetapi sudah memang begitu sifat orang mukarrobin.

Bagi mereka, "kebaikan yang dilakukan oleh orang soleh adalah merupakan satu kesalahan."

Nampaknya, kita jauh dari itu.

Bukan sekadar dua jenis lauk saja, malah kadang-kadang sampai lima jenis yang terdiri pula daripada ayam goreng, sayur-sayur, dua tiga jenis ikan dan sebagainya, itupun kita tidak ada selera hendak makan.

Masih lagi kita rasakan susah hati menghadap hidangan seperti itu.

Walau bagaimana pun apa boleh buat, kita terpaksa ceritakan juga perbuatan-perbuatan orang soleh walau pun kita tidak boleh melakukannya.

Mudah-mudahan dengan kita menceritakan kisah-kisah orang soleh itu menjadi rahmat.

No comments:

Post a Comment