continued..
Dengan adanya petunjuk dan pimpinan daripada Allah s.w.t. pada diri seseorang itu, dia akan dapat mengetahui kecacatan dan keaiban dirinya yang kemudian bolehlah dia membuat perubahan.
Kalau seseorang itu tidak mendapat pimpinan dan petunjuk daripada Allah s.w.t., dia tidak akan mengetahui kecacatan dirinya hingga dia terus menerus hidup dalam kedurhakaan kepada Allah s.w.t. sampai mati.
Inilah yang lazim berlaku pada umum manusia.
Kita lebih pakar dalam mengetahui kejahatan orang lain daripada mengetahui kejahatan diri sendiri. Kerana itu, manusia ini sentiasa bersikap seperti mana kata pepatah melayu:
"Kuman di seberang laut nampak tetapi gajah di depan mata tak nampak."
Bagaimana seseorang itu hendak mengetahui kecacatan dan keaiban pada dirinya?
Dalam kitab Mauizatul Mukminin karangan Imam Ghazalirahimahullahu ta’ala, dikatakan ada 4 jalan bagaimana kita boleh mengetahui keaiban diri kita.
Jalan yang pertama ialah dengan seseorang itu duduk berhadapan dengan guru yang dapat mengetahui keaiban dan kecacatan dirinya yang tersembunyi.
Kemudian, dia dapat mengikuti syarahan dan nasihat gurunya itu dalam dia bermujahadah.
Orang yang hendak mengetahui keaiban dan kecacatan dirinya mesti mencari seorang guru yang pakar serta yang mempunyai pandangan tembus.
Guru seperti ini ialah guru yang soleh dan yang berakhlak.
Orang itu mesti berdamping selalu dengan gurunya itu hingga kecacatan dirinya sama ada yang lahir mahupun yang batin dapat dilihat oleh gurunya tadi.
Dari situ, gurunya nanti akan dapat memimpin dia daripada satu peringkat ke satu peringkat.
Tetapi yang malangnya bagi kita di akhir zaman ini, guru yang soleh serta yang berpandangan tembus yang hatinya selalu hampir dengan Allah s.w.t. amat payah hendak kita dapati.
Guru seperti ini adalah guru yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang bermaksud:
“Hendaklah kau takut tentang firasat seorang mukmin itu. Kalau dia melihat, dia melihat dari cahaya Allah.”
Maksudnya, seorang mukmin itu, kalau dia melihat sesuatu, dia dipimpin oleh Allah hingga pandangannya tepat, gerak hatinya atau rasa hatinya tepat serta apa yang difikirkannya tepat.
Guru yang mukmin semacam inilah yang susah hendak kita cari pada masa ini.
Tetapi yang banyak kita temui ialah sepertimana kata Rasulullah s.a.w., guru-guru yang menjadi tukang-tukang syarah saja tetapi tidak mursyid.
No comments:
Post a Comment